Sudut Pandang Pulau Madura


4.1    Pengertian carok dan faktor penyebab

Carok adalah istilah yang berasal dari bahasa Madura yang bermaksud ‘berkelahi’. Tentunya perkelahian dapat ditemukan di mana-mana masyarakat sekalipun. Lalu mengapakah carok menjadi suatu fenomena yang menarik perhatian dan bahkan menimbulkan kegerunan? Carok sebagai suatu perkelahian agak menarik kerana ia melibatkan penggunaan senjata khas Madura iaitu clurit. Oleh kerana itulah, carok dapat ditafsirkan sebagai tindakan secara fizikal yang diambil oleh seseorang untuk menewaskan atau membunuh seorang musuh dengan menggunakan clurit (Touwen-Bouwsma 1989).

Clurit merupakan senjata tajam yang berbentuk bulan sabit. Umumnya clurit digunakan sebagai salah satu alat dalam kegiatan pertanian. Sesuai dengan bentuknya, ia juga sangat berkesan untuk mencederakan orang lain. Begitu eratnya orang Madura dengan clurit sehingga terdapat jenaka mengenainya, seperti berikut:

Dalam satu operasi tentera, seorang pegawai tentera mendapati seorang prajurit yang merupakan orang Madura membawa clurit. Dengan penuh sangsi pegawai tersebut bertanya kepada prajurit berkenaan. “Mengapa kamu bawa clurit? Kan kamu sudah diberi pistol?” Dengan penuh yakin prajurit tersebut menjawab. “Memang betul pak sudah ada pistol tapi kalau pake pistol kan ngak pasti kena…kalau pake clurit..pasti kena!”

Di samping penggunaan senjata yang khas Madura, carok mengundang perhatian kerana ia telah menjadi suatu kelaziman atau pola perilaku, yang mempunyai fungsi budaya di dalam masyarakat Madura. Dengan kata lain, carok telah diterima pakai sebagai cara yang tidak dapat dielakkan bagi menyelesaikan suatu persengketaan yang bertitik tolak dari masalah harga diri.

Lazimnya seseorang itu melakukan carok adalah disebabkan oleh perasaan malo (malu) atau terhina, yang mana harga dirinya dilecehkan oleh orang lain (Latief Wiyata 2002). Dengan kata lain, orang Madura yang merasa bahawa harga dirinya telah dilecehkan akan merasa malu sehingga merasa perlu melakukan carok kepada orang yang menghinanya. Perasaan malu yang mendorong kepada carok tidak selalunya muncul secara sepihak tetapi adakalanya melibatkan kedua belah pihak.

Di kalangan orang Madura, jatuhnya harga diri atau martabat diri dianggap sama ertinya dengan jatuhnya kedudukan diri. Dalam konteks kehidupan bermasyarakat, kedudukan diri seseorang tidak dapat dipisahkan daripada peranan dan status sosial dalam struktur sosial. Peranan dan status sosial seseorang tidak hanya disedari oleh individu terbabit tetapi harus diakui oleh ahli masyarakat yang lain, sehingga dalam setiap hubungan sosial setiap ahli harus saling menghargai antara satu sama lain. Menurut Latief Wiyata (2002:171), bagi orang Madura tindakan tidak menghargai atau tidak mengakui atau mengingkari peranan dan status sosial seseorang sama ertinya dengan memperlakukan seseorang itu sebagai orang yang tada’ ajina (benar-benar tidak punya harga diri lagi) dan selanjutnya menimbulkan perasaan malo.[5]

Orang Madura yang merasa harga dirinya sudah digugat akan cenderung melakukan tindakan terhadap orang yang menghinanya sebagai usaha untuk memulihkan harga dirinya. Tindakan yang diambil cenderung sangat agresif dan lazimnya adalah tindakan menyerang dengan senjata tajam iaitu clurit sehingga ‘musuh’ mendapat cedera atau yang paling ekstrim adalah terbunuh. Ungkapan ango’an poteya tolang etembang poteya mata (biar putih tulang jangan putih mata) adalah ungkapan yang sering diguna pakai bagi menyatakan betapa orang Madura lebih rela mati daripada harus menanggung malo.

Apakah perkara yang boleh menyebabkan orang Madura merasa malo sehingga akhirnya melakukan carok? Beberapa informan yang ditemubual menyatakan bahawa terdapat tiga perkara iaitu pertama, apabila isteri mereka diganggu; kedua, apabila harta mereka diganggu; dan ketiga, apabila keinginan mereka untuk melaksanakan perintah agama ditegah. Antara ketiga perkara tersebut, tindakan mengganggu isteri orang, bermukah atau berzina dengan isteri orang merupakan bentuk pelecehan harga diri yang paling menyakitkan hati bagi lelaki Madura.

Oleh kerana itu, mereka menganggap tiada cara lain untuk menebus maruah yang telah tercabar kecuali membunuh orang yang telah menjatuhkan maruahnya. Hal ini dapat dilihat berdasarkan ungkapan yang berbunyi, “saya kawin dinikahkan oleh penghulu, disaksikan oleh orang banyak, serta dengan memenuhi peraturan agama. Maka siapa saja yang mengganggu istri saya berarti menghina agama saya sekaligus menginjak-injak kepala saya” (Imron 1986:11). Dengan kata lain, martabat dan kehormatan isteri adalah manifestasi daripada martabat dan kehormatan suami kerana oleh orang Madura isteri telah dianggap sebagai bantalla pate (landasan kematian). Oleh kerana itu, tindakan mengganggu isteri orang disebut sebagai agaja’ nyaba yang maksudnya sama dengan tindakan mempertaruhkan atau mempermainkan nyawa (Latief Wiyata 2002:173).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.