Sudut Pandang Pulau Madura

Jembatan Suramadu, membentantang antara Surabaya dan Madura

3.0     Pulau Madura Sepintas Lalu

Mungkin tidak ramai yang tahu dengan pasti dari mana orang Madura berasal dan lokasi sebenarnya kedudukan Pulau Madura. Dari sudut kedudukan dan administrasi, Pulau Madura merupakan sebahagian daripada Provinsi Jawa Timur. Ia terletak di timur Pulau Jawa iaitu di sebelah pantai utara. Pulau Madura berukuran 160 km dari timur ke barat dan 35 km dari utara ke selatan dengan jumlah luas secara keseluruhan sekitar 4,250 km persegi (www.info-indo.com/java/madura).

Pulau Madura dibahagikan kepada empat daerah atau kabupaten iaitu Bangkalan, Sampang, Pamekasan dan Sumenep. Selain pulau besar, terdapat 67 lagi pulau-pulau kecil yang lain, di mana 66 buah pulau daripadanya menjadi sebahagian daripada Kabupaten Sumenep. Manakala sebuah pulau lagi termasuk dalam Kabupaten Sampang. Selain itu terdapat dua buah pulau yang kedudukannya agak jauh (sekitar 240 km) dari Pulau Madura iaitu Pulau Karamian yang terletak di sebelah utara dan Pulau Sekala yang terletak di timur Pulau Madura.

Keadaan laut di sebahagian besar Pulau Madura adalah bersih, jernih dan tidak terlalu dalam sehingga dapat memaparkan kehidupan laut, seperti mana yang dapat dilihat di sekitar Pulau Mamburit. Lazimnya, pantai di kebanyakan pulau adalah berpasir putih seperti yang terdapat di Pulau Siring Kemuning, Camplong, Slopeng, Lombang, Saobus, Memburit, Saur, Pagerungan dan kepulauan Kangean. Namun begitu, terdapat juga pulau yang diliputi oleh tumbuh-tumbuhan pantai yang tebal di perairannya.

Berbanding dengan daerah lain di Jawa Timur, tanah di Pulau Madura adalah kurang subur. Tanah di Pulau Madura adalah berbatu dan kering. Keadaan inilah yang mengajar orang Madura untuk menjadi orang yang ‘panjang akal’ dan cepat menyesuaikan diri, dua ciri orang Madura yang sangat dikenali.

Pulau Madura dapat dicapai dengan feri yang memakan masa 30 minit dari Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya ke Pelabuhan Kamal, di barat daya Pulau Madura. Feri yang dapat mengangkut pelbagai bentuk kenderaan, penumpang dan barang-barang bertolak dari kedua pelabuhan tersebut setiap 15 minit, telah dianggap sebagai jembatan bergerak yang menghubungkan Pulau Madura dan Pulau Jawa.

Dari sudut demografi, pada bulan Mei 1992, jumlah penduduk Jawa Timur adalah 31,708,003 orang. Daripada keseluruhan jumlah penduduk Jawa Timur, penduduk Pulau Madura berjumlah 2,877,194 orang. Dari jumlah tersebut, penduduk di Pulau Madura berdasarkan jantina menunjukkan seramai 1,509,431 orang adalah wanita dan seramai 1,367,763 orang adalah lelaki. Menurut data statistik yang dikeluarkan oleh Biro Pusat Statistik setempat, jumlah penduduk Madura pada tahun 1994 telah meningkat kepada 2,979,596 orang (Latief Wiyata 2002 :34).

Meskipun sebahagian daripada Jawa Timur, Pulau Madura dihuni oleh kelompok etnik yang mempunyai bahasa dan adat yang tersendiri. Selain dikenali sejak berabad yang lalu sebagai pelayar yang handal, orang Madura juga terkenal sebagai orang yang kuat bekerja, kasar dan mempunyai semangat yang tinggi. Kesemua ciri keperibadian tersebut sangat sesuai dengan cuaca yang panas dan keadaan muka bumi Pulau Madura yang kering.

Sehingga akhir tahun 1970an, kehidupan orang Madura adalah sangat sederhana yang mana kebanyakan penduduk terlibat dalam kegiatan peternakan, perikanan dan perniagaan kecil. Sejak akhir-akhir ini, sesuai dengan kemajuan teknologi kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan pengangkutan darat serta laut di Pulau Madura telah meningkat. Hasilnya, keadaan ekonomi masyarakat Madura telah mengalami peningkatan berbanding 20 tahun yang lalu.

4.0     Carok Sebagai Elemen Identiti Madura

Pada awalnya pemahaman tentang carok yang diperolehi bagi menulis kertas kerja ini adalah berasaskan kepada sumber sekunder. Di Malaysia, sangat sedikit bahan bertulis tentang orang Madura, apalagi tentang carok. Bagi memperdalam pemahaman dan memperolehi lebih banyak bahan bertulis tentang orang Madura, penulis telah mengunjungi Jakarta, Pulau Madura dan Jember di Jawa Timur selama dua minggu dari 18 Julai hingga 1 Ogos 2004. Agak terbatas sebenarnya tempoh kunjungan tersebut namun penulis telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapat bahan-bahan sekunder. Di samping itu, penulis berusaha untuk mendapatkan data-data primer dengan melakukan temubual terhadap beberapa orang informan berkaitan identiti etnik Madura baik dari sudut pandang “everyday-defined” atau “authority-defined”. Sesuai dengan keterbatasan itulah kertas kerja ini cuba mengupas secara ringkas tentang carok sebagai elemen identiti Madura.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.