Carok; Bentuk dan Penyebabnya

Ilustrasi Carok

4.2   Pelaku, bentuk carok dan tanggapan terhadapnya

Menurut Denkers (dalam Jonge 1993:4), umumnya orang Madura yang melakukan carok adalah lelaki, yang bererti seorang lelaki menentang lelaki lain, bukan lelaki menentang wanita, apalagi wanita menentang wanita yang lain. Apabila berlaku pembunuhan atau tindakan kekerasan oleh seorang lelaki ke atas seorang wanita, atau oleh seorang wanita ke atas wanita yang lain, peristiwa tersebut tidak disebut sebagai carok tetapi sebagai atokar (perkelahian) atau mate’e oreng (pembunuhan biasa). Oleh kerana itu, bagi orang Madura carok adalah urusan lelaki semata-mata dan bukan urusan wanita. Hal tersebut dipertegas dengan ungkapan oreng lake’ mate acarok, orang bine’ mate arembi yang bermaksud lelaki mati kerana carok, perempuan mati kerana melahirkan anak (Latief Wiyata 2002:177).

Tidak semua tindakan agresif yang dilakukan oleh orang Madura dapat dianggap sebagai carok. Pada umumnya, tindakan agresif yang menyebabkan mangsa hanya mengalami luka ringan hanya disebut oleh orang Madura sebagai atokar atau perkelahian biasa. Carok hanya merujuk kepada tindakan yang menyebabkan mangsa luka parah atau mati. Bahkan lazimnya, pelaku carok hanya akan merasa puas, lega dan bahkan bangga sekiranya mangsa mengalami kecederaan parah atau mati.

Carok dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Pertama, carok dengan cara nyelep adalah tindakan menyerang musuh secara senyap iaitu menyerang secara mengejut dari belakang dan dengan sekali tebas membelah perut atau memotong urat nadi leher (Touwen-Bouwsma 1980). Cara nyelep dianggap lebih mudah untuk menewaskan lawan namun cara ini dianggap sebagai tindakan pengecut (kerji’) atau tidak kesatria. Oleh yang demikian, carok nyelep merupakan suatu usaha yang terancang untuk membunuh seseorang atau menyebabkan kecederaan parah, dengan menggunakan kesempatan sewaktu mangsa dalam keadaan lalai, dengan tujuan untuk melepaskan rasa dendam atau rasa sakit hati akibat dipermalukan oleh mangsa di khalayak umum (Soetandyo 1984).

Kedua, adalah dengan menentang musuh secara berhadapan dan dilakukan di mana-mana sahaja. Ketiga, carok yang disebut sebagai ngonggai, yang mana pihak yang ingin melakukan carok harus mendatangi rumah lawannya lalu mencabar untuk bertarung secara berdepan. Carok dalam bentuk kedua dan ketiga tersebut lebih mendekati apa yang dinyatakan oleh Abdurrahman (1977) tentang carok iaitu sebagai suatu perkelahian yang menggunakan senjata tajam antara seorang individu dengan individu lain atau antara satu kelompok dengan kelompok lain, yang terlebih dahulu dipersetujui tentang tempat dan waktu carok akan dilangsungkan.. Namun begitu menurut informan, carok yang seperti ini sudah jarang berlaku. Carok yang sering berlaku adalah bentuk carok nyelep.

Bentuk yang keempat ialah carok yang disebut sebagai gu’-teggu’ sabbu’ yang mana pelaku carok saling memegang seutas tali pinggang dengan tangan kiri dan pada masa yang sama tangan kanan mereka saling menghayun celuritnya.[6] Apapun cara yang dipilih, dalam setiap peristiwa carok pasti akan berakhir dengan luka parah atau kematian. Biasanaya carok yang dilakukan dengan cara nyelep akan menyebabkan orang yang diserang akan mati, manakala penyerang hanya luka ringan atau tidak luka sama sekali. Manakala dalam carok gu’-teggu’ sabbu’ kedua-dua pelaku carok mungkin sama-sama luka parah atau mati.

Lazimnya pemenang suatu peristiwa carok adalah mereka yang dapat menewaskan lawannya sama ada dengan menyebabkan kematian atau luka parah. Jika salah seorang tidak terbunuh maka pemenang ditentukan berdasarkan siapakah yang hanya mengalami luka yang sedikit. Pemenang carok akan dipanggil dengan gelaran oreng jago. Sekiranya oreng jago melakukan carok buat kali kedua atau seterusnya dan memperoleh kemenangan, maka kemenangan tersebut akan memperkukuh gelaran yang telah disandangnya.

Carok dapat dilakukan secara terancang mahupun spontan. Carok secara spontan adalah carok yang dilakukan apabila berlaku perselisihan yang menyangkut masalah harga diri dan pihak yang merasa malo terus menyerang pihak lawan dengan apa juga senjata atau alat yang di sekitarnya. Carok juga dapat dilakukan dengan melalui perancangan atau strategi yang rapi. Dalam hal ini, pelaku carok akan mengintip mangsa untuk menentukan masa dan tempat sesuai untuknya bersembunyi dan kemudian melakukan carok secara nyelep (serang hendap).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.