Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura

Ilustrasi: Carok

Dalam perspektif liberal, identiti dalam konteks hubungan antara individu dengan masyarakat bukanlah suatu hal yang rumit. Hal ini kerana setiap individu mempunyai ciri-ciri atau sifat yang sama sehingga menjadikan mereka mempunyai simbol atau ‘identiti’ sebagai anggota kepada suatu kelompok tertentu dalam masyarakat (Rouse 1995). Namun begitu, perkembangan terkini dalam antropologi terutama dalam kajian budaya memberikan hujah yang berbeza. Identiti telah dilihat sebagai suatu proses pembentukan atau konstruksi sosial yang tidak stabil, yang berlaku di dalam suatu jaringan hubungan kekuasaan (Nonini dan Ong 1997). Oleh yang demikian, identiti tidak harus dilihat sebagai sebagai sesuatu ‘essence’ atau inti yang tidak berubah kerana identiti mempunyai hubungan atau kaitan dengan pelbagai faktor.  Dalam pengertian tersebut, identiti merupakan sesuatu yang dibentuk dan bukan telah terbentuk secara semula jadi (becoming rather than being) (Hall 1989), tidak pula tertakluk kepada masa dan ruang (Shotter 1993), dan dikonstruksi secara sosial (Jackson and Penrose 1993).

Sesuai dengan perspektif konstruksi sosial, pembentukan identiti sebagai suatu fenomena sosial dapat difahami dengan melihatnya dalam konteks dua realiti sosial. Pertama, realiti ‘authority-defined” iaitu realiti yang didefinisikan oleh pihak yang berada dalam struktur kekuasaan yang dominan. Kedua, realiti sosial “everyday-defined”, iaitu realiti yang dialami sendiri oleh individu dalam kehidupan sehariannya. Kedua realiti sosial tersebut wujud secara seiringan pada sebarang waktu (Shamsul 1996). Dalam kehidupan seharian kedua realiti tersebut saling berkaitan dan secara berterusan saling mempengaruhi. Oleh yang demikian, keduanya mungkin mempunyai persamaan atau sebaliknya. Hal ini kerana realiti sosial “everyday-defined” adalah sesuatu pengalaman yang dialami, manakala realiti sosial “authority-defined” hanyalah hasil daripada pemerhatian dan interpretasi. Oleh yang demikian, identiti yang dipunyai oleh seseorang mungkin bersifat ganda, di satu sisi adalah berasal dari apa yang dinyatakan oleh ‘authority-defined’, dan di sisi lain melalui pengalaman hariannya atau “everyday-defined”, elemen identiti dari sumber lain turut dijadikan rujukan.

Salah satu sumber kepada identiti seseorang adalah identiti etnik. Secara ringkas, pemahaman tentang konsep etnisiti mungkin dapat dibahagikan kepada dua iaitu perspektif primordialis dan perspektif situasionis. Menurut perspektif primordialis, etnisiti adalah sesuatu yang diwarisi (ascribed), sangat dalam akarnya, diberikan sebagai suatu yang diwariskan sewaktu lahir dan secara keseluruhan tidak dapat diubah (van den Berghe 1978 :401).  Perspektif situasionis pula melihat etnisiti sebagai suatu fenomena yang muncul hasil daripada interaksi yang secara berterusan antara keadaan alami suatu komuniti lokal, peluang-peluang ekonomi yang ada, dan warisan bangsa atau agama kelompok tertentu (Yancey et. Al. 1976 : 397). Berdasarkan perspektif ini, manusia dilihat sebagai agen yang secara aktif membuat pilihan dan secara strategik mempersembahkan dan menonjolkan lambang-lambang etniknya dengan cara yang dianggap sesuai. Oleh yang demikian, identiti etnik hanya berupa ‘benda’ atau simbol yang ditentukan berdasarkan manipulasi dan persembahan yang berbeza-beza, sehingga ia bukanlah suatu refleksi diri yang sebenar (Chan & Tong 1993:143).

Rosaldo (1988) pula berhujah bahawa identiti tidaklah secara mutlak merupakan suatu yang ekspresif (primordial) atau instrumental (situasional). Lazimnya kedua-duanya berlaku secara seiring. Perspektif ini tidak jauh berbeza dengan pandangan Fishman (1977) yang berpendapat bahawa etnisiti merupakan fenomenologikal antara unsur-unsur warisan (ascription) dan unsur-unsur yang menjadi pilihan sendiri (self-selection). Dalam pengertian tersebut, affiliasi etnik dapat dilihat sebagai terletak di sepanjang garisan panjang di mana seseorang mengorganisasi dan mengkategorikan dirinya, dari keanggotaan yang dipilih sehingga kepada keanggotaaan yang diberikan oleh orang lain (Horowitz 1975:55).

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dikatakan bahawa identiti etnik boleh bersumber kepada apa yang diwarisi oleh seseorang daripada keluarga dan kelompoknya. Namun begitu, sesuai dengan keadaan seseorang individu boleh memilih dan mengekspresikan identiti yang sesuai dengan keinginan dan keperluannya. Keperluan untuk memilih dan mengekspresikan identiti etnik sesuai dengan keinginan atau keperluan sangat penting misalnya, dalam kehidupan bernegara (nation-state). Dalam kehidupan bernegara, kelompok etnik mana yang dianggap sebagai kelompok majoriti atau minoriti dalam membentuk negara-bangsa adalah sangat penting. Dalam hal inilah pemahaman identiti etnik berdasarkan realiti sosial “everyday-defined” atau “authority-defined” dapat digunakan sebagai asas untuk menganalisis bagaimana suatu unsur identiti etnik diekspresikan, diubah atau bahkan ditinggalkan sesuai dengan keperluan individu terbabit.

Tulisan bersambung

  1. Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura,
  2. Sudut Pandang Pulau Madura,
  3. Carok; Bentuk dan Penyebabnya,
  4. Indentiti Madura dan Nilai Ekonomi, 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.